Hukum Binaan Atas Kubur Dan Hiasan Kubur

Hukum Binaan Atas Kubur Dan Hiasan Kubur | ISU : Apakah hukum membina batas daripada batu batuan dan apa hukum menghias kuburan? Adakah ianya haram?

PENJELASAN:

Membina batas dari batu batuan di atas kuburan adalah harus sekiranya ia dibuat untuk mengelakkan tanah dari terhakis atau digali atau dikorek oleh binatang. Yang diharamkan ialah membina binaan yang besar untuk tujuan kecantikan dan bermegah-megah. Oleh yang demikian, berhias untuk tujuan di atas adalah haram. Namun sekiranya dibuat binaan asas yang kemas untuk tujuan memperkukuhkan tanah dan memudahkan orang yang menziarahi adalah harus.

Jawatankuasa Fatwa Negeri Kedah pernah membincangkan isu berkaitan dengan binaan atas kubur pada 26 Mei 1976 dan 25 Mei 2010. Keputusannya adalah seperti berikut:
  1. Makruh hukumnya dibuat binaan di dalam atau di atas kubur yang tanah kubur itu dimiliki oleh orang yang membuat binaan tersebut. Manakala hukumnya harus jika membuat binaan yang bertujuan menyelamatkan kubur itu dari digali atau dikorek oleh binatang buas atau diruntuh oleh banjir atau seumpamanya.
     
  2. Haram hukumnya dibuat binaan di dalam atau di atas kubur apa jua jenis dan bentuk binaan yang kekal selepas hancur mayat dengan tiada apa-apa tujuan seperti yang tersebut di atas sekiranya kubur itu di dalam tanah yang disediakan untuk perkuburan atau yang diwakaf untuk perkuburan dan wajib dirobohkan kerana binaan kekal wujudnya selepas hancur mayat ia menghalang orang-orang Islam daripada menggunakan tempat perkuburan itu dengan tiada apa-apa sebab yang diluluskan oleh syarak dan meruntuhkan itu hendaklah dengan kebenaran kadi atau kebenaran Majlis Agama Islam Negeri Kedah kerana dikhuatiri berlaku perbalahan, pergaduhan dan sebagainya. Batu-batu dan perkakas-perkakas binaan menjadi hak milik waris-warisnya dan dipulangkan kepada mereka. Jika tiada waris atau waris enggan mengambilnya maka menjadi hak kepada baitulmal.
Wallahua'alam

Tiada ulasan

The owner of this blog reserves the right to edit or delete any comments submitted to this blog without notice due to;
1. Comments deemed to be spam or questionable spam
2. Comments including profanity
3. Comments containing language or concepts that could be deemed offensive
4. Comments that attack a person individually (including agency)